Ahad, 27 Januari 2013

SARAWAK

Latar belakang sejarah Sarawak.

          Sarawak ialah negeri terbesar di Malaysia. Negeri Sarawak berasal dari nama Batang Sarawak atau Sungai Sarawak. Batang Sarawak meliputi kawasan di sekitar Kuching hingga ke seluruh Sarawak. Kewujudan manusia di Sarawak bermula kira - kira 40 000 tahun dahulu. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui penemuan beberapa peninggalan sejarah di Gua Niah seperti tembikar, alat perkakas seperti kapak, pisau yang diperbuat daripada batu serta lukisan yang diconteng pada dinding gua. Penemuan ini telah membuktikan Sarawak sebagai salah sebuah negeri terawal yang diduduki oleh manusia di Asia Tenggara.

Kegiatan Sosiobudaya

         Pelbagai etnik di Sarawak telah mewujudkan corak sosiobudaya yang berbeza antara satu etnik dengan satu etnik yang lain. Etnik di Sarawak meneruskan kegiatan sosiobudaya mereka melalui warisan daripada generasi sebelumnya. Walau bagaimanapun, mereka menghormati budaya yang diamalkan oleh etnik lain. Keadaan ini telah mewujudkan semangat kekitaan di kalangan masyarakat Sarawak.

Pendidikan

           Penduduk bumiputera Sarawak menerima pendidikan tidak formal dan pendidikan formal. Pendidikan tidak formal diperoleh melalui cerita - cerita lisan yang berkaitan dengan amalan dan kepercayaan turun-temurun seperti cara-cara berburu dan memungut hasil hutan.

        Pendidikan formal pula dijalankan di masjid dan sekolah agama. Di sini, pendidikan agama Islam seperti membaca al-Quran dan menulis jawi diajar kepada kumpulan etnik yang beragama islam. Selain itu, pendidikan berkaitan hukum islam seperti cara melaksanakan ibadat pula diajar oleh guru al-Quran, imam, dan lebai.

Peraturan dan adat resam

       Setiap suku etnik mempunyai adat resam tersendiri yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh setiap anggota masyarakat. Amalan adat resam ini mempunyai keunikan yang tersendiri mengikut sosio budaya etnik masing - masing. bagi mereka yang beragama islam, cara hidup dan adat resamnya adalah berasaskan ajaran agama islam.

          Bagi masyarakat yang bukan beragama Islam pula, mereka akan patuh pada cara hidup dan adat resam yang telah diwarisi turun - temurun daripada nenek moyang mereka. Selain orang melayu, masyarakat bumiputera Sarawak yang lain mempunyai tuai rumah. Tuai rumah ialah orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan di kawasannya. Beliau juga bertanggungjawab menyelesaikan masalah seperti perkahwinan, penceraian, peraturan, dan perayaan. Dua upacara penting yang perlu ditentukan oleh tuai rumah ialah menetapkan tarikh Hari Gawai atau pesta menuai dan perayaan 'Beranyi'. 
    
Orang Iban
  • Mempunyai tradisi menyimpan pasu, gong, dan tempayan yang dipanggil tajau. Tajau diwarisi secara turun temurun, bernilai, dianggap suci, dan dihormati. Tajau berfungsi  sebagai harta simpanan dan diperoleh secara tukar barang. 
Orang Kayan, Kelabit, dan Kenyah
  • Menindik telinga dan menggantung gelang - gelang timah atau tembaga hingga cuping telinga menjadi lanjut.
  • Menindik telinga menggambarkan kecantikkan.
  • Jenis anting - anting yang digunakan melambangkan status yang berbeza.
  • Anting - anting ini diwarisi secara turun-temurun.
  • Melukis tatu atau mencacah badan dengan pelbagai corak. Setiap corak mempunyai makna yang tersendiri.
Orang Melayu Sarawak
  • Mengamalkan peraturan dan adat resam yang berasakan ajaran agama islam.
  • Hidup bermasyarakat dan saling membantu terutamanya sentiasa menanam padi, kenduri, dan perayaan.
         Masyarakat Iban, Bidayuh, dan masyarakat Orang Ulu kebanyakannya masih tinggal di rumah panjang. Rumah panjang berfungsi seperti sebuah perkampungan. Kaum-kaum yang tinggal di rumah panjang hidup seperti sebuah keluarga. Ketua rumah panjang atau tuai rumah bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan anak buah.

Kebudayaan

Penduduk Sarawak mempunyai pelbagai perayaan yang lazaimnya akan disambut dengan meriah :
Melanau
  • Merayakan perayaan Kaul. Perayaan ini diadakan untuk menjamu ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan penyakit.
Iban

Merayakan Perayaan Gawai (Pesta Menuai). Jenis - jenis Hari Gawai ialah :
  • Gawai Burung
  • Gawai Batu 
  • Gawai Kenyalang
  • Gawai Antu
Menarikan Tarian Ngajat sebagai tanda kesyukuran dalam pesta menuai padi.

Orang Melayu Sarawak
  • Di kalangan orang melayu, terdapat sejenis kesenian tradisi yang dinamakan bergendang. Dalam persembahan ini, hanya kaum lelaki sahaja yang akan menari, manakala kaum perempuan bermain gendang sambil menyanyi dan berpantun. Tarian ini meliputi permainan muzik, nyanyian, pantun, dan tarian. 
Agama dan Kepercayaan

        Masyarakat Sarawak mempunyai kepercayaan yang berbeza mengikut kumpulan etnik masing - masing. Namun begitu, keadaan ini tidak menghalang mereka untuk hidup dengan aman dan damai. Sebilangan kecil masyarakat bumiputera Sarawak seperti Iban, Murut,kelabit,kenyah dan bisaya masih mengamalkan kepercayaan animisme .Mengikut kepercayaan ini, semua benda seperti gunung, bukit, busut, pokok kayu, sungai, dan hutan mempunyai semangat dan roh.Masyarakat melanau yang bukan beragama islam mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil ipok.

        Orang Penan dikenali sebagai Penan normad kerana mereka mengamalkan cara hidup berpindah-randah terutamanya apabila berlaku sesuatu kematian. Selain itu, mereka juga mempunyai kepercayaan yang unik. Menurut kepercayaan ini, mereka dilarang menetap secara kekal di sesuatu tempat  dan dilarang menebang pokok besar serta melapangkan kawasan hutan. Di kalangan kaum Iban, mereka masih berpegang teguh pada kepercayaan apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemah terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda - petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai menandakan  mereka tidak boleh mendirikan rumah di kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan